KINABATANGAN, 10 Jan – Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan menyaksikan penyertaan calon Bebas, Goldam Hamid, selepas beliau disahkan sebagai calon rasmi berikutan tamat proses penamaan calon pagi tadi di Dewan Sri Lamag.
Goldam, 40, yang merupakan seorang peguam dari Kampung Minusoh, Tongod, menawarkan diri sebagai calon Bebas bagi memberi pilihan tambahan kepada pengundi di kawasan Parlimen Kinabatangan.
Menurut beliau, fokus utama kempen adalah memperjuangkan hak Sabah, khususnya tuntutan 40 peratus hasil negeri seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Fokus pertama saya adalah membawa kesedaran kepada seluruh rakyat Kinabatangan mengenai hak-hak Sabah, khususnya tuntutan 40 peratus hasil negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963.
“Saya mahu rakyat di Kuamut dan seluruh Kinabatangan, sama ada tua atau muda, sedar bahawa isu ini perlu diutamakan selain isu-isu lain sekiranya kita benar-benar mahukan pembangunan,” katanya.
Kerusi Parlimen Kinabatangan menyaksikan pertembungan tiga penjuru dengan Goldam berdepan calon Barisan Nasional (BN), Naim Kurniawan Moktar, serta calon Parti Warisan, Datuk Saddi Abdul Rahman.
TAMAT
