Kelewatan Hampir 10 Peratus Pan Borneo Pakej 1A Cetus Kebimbangan Kementerian

sabahheadlines
2 Min Read

KINABATANGAN,9 JANUARI 2026-
Kelewatan hampir 10 peratus Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Pakej Kerja 1A menimbulkan kebimbangan Kementerian Kerja Raya (KKR) apabila kemajuan fizikal sebenar projek itu hanya mencapai 86.53 peratus berbanding sasaran asal 96.24 peratus.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, berkata kelewatan berkenaan tidak boleh diterima walaupun tiada sebarang isu berkaitan pembayaran kewangan kerana bayaran kepada kontraktor dibuat selari dengan kemajuan fizikal projek.

Menurut beliau, daripada keseluruhan 15 pakej kerja di bawah Pakej Kerja 1A hanya empat pakej telah disiapkan sepenuhnya manakala baki 11 pakej masih ketinggalan dan perlu dipercepatkan pelaksanaannya.

“Saya tidak berpuas hati dengan kelewatan hampir 10 peratus ini. Pakej Kerja 1A sepatutnya berada pada tahap 96.24 peratus namun kemajuan sebenar hanya 86.53 peratus. Ini memang tidak memuaskan walaupun empat daripada 15 pakej telah siap,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke jajaran Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah di sini, pagi tadi.

Lawatan berkenaan merupakan Program Turun Padang pertama beliau bagi tahun 2026 yang melibatkan Pakej Kerja 25 dari Kampung Perpaduan Datuk Moh ke Sukau serta Pakej Kerja 26 dari Sukau ke Kampung Lot M.

Ahmad turut memaklumkan setakat ini tiada kontraktor yang ditamatkan perkhidmatan namun beberapa syarikat telah diberikan amaran dan peringatan supaya segera mempercepatkan pelaksanaan projek mengikut jadual ditetapkan.

“Buat masa ini tiada kontraktor yang ditamatkan namun terdapat beberapa syarikat yang telah diberi amaran.

Tindakan pemantauan dan peringatan akan diteruskan kerana rakyat sudah lama menunggu dan projek ini perlu disegerakan,” katanya.

Kerajaan berharap baki Pakej Kerja 1A dapat disiapkan dengan lebih pantas manakala pelaksanaan Pakej Kerja 1B pula tidak mengulangi kelewatan sama selaras dengan usaha meningkatkan keselamatan, kesalinghubungan serta pertumbuhan ekonomi di Kinabatangan dan Sabah secara keseluruhan.

TAMAT

Share This Article