PRK KINABATANGAN DAN LAMAG : 3 CALON PARLIMEN DAN 2 CALON DUN DISAHKAN BERTANDING

sabahheadlines
2 Min Read

KINABATANGAN,10 JANUARI-
Seramai tiga calon disahkan bertanding bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.187 Kinabatangan manakala dua calon pula akan merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.58 Lamag selepas proses penamaan calon selesai hari ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia, Dato Sri Ramlan Bin Dato Harun dalam kenyataan medianya memaklumkan, urusan penamaan calon bagi kedua-dua PRK itu telah berlangsung dari jam 9 pagi hingga 10 pagi di Dewan Sri Lamag Kinabatangan dan berjalan lancar tanpa sebarang insiden.

Bagi PRK Parlimen Kinabatangan, calon-calon yang bertanding ialah Naim Moktar daripada Barisan Nasional (BN), Goldam H Salangah selaku calon Bebas serta Datuk Saddi bin Abdu Rahman yang mewakili Parti Warisan Sabah (WARISAN).

Sementara itu bagi PRK DUN Lamag persaingan melibatkan Miha daripada Barisan Nasional dan Mazliwati Abdul Malek daripada Parti Warisan Sabah.

SPR memaklumkan tempoh berkempen bermula sejurus pengisytiharan pilihan raya dipertandingkan oleh Pegawai Pengurus dan akan berakhir pada jam 11.59 malam, 23 Januari 2026.

Bagi memastikan pematuhan undang-undang dan peraturan pilihan raya, SPR telah menubuhkan empat Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) untuk memantau semua aktiviti kempen sepanjang tempoh berkempen.

Selain itu, seramai 39 pemerhati pilihan raya daripada sembilan organisasi turut dilantik bagi memantau perjalanan PRK berkenaan demi menjamin ketelusan proses demokrasi.

SPR turut mengingatkan semua calon dan parti politik supaya mematuhi peraturan berkaitan bahan kempen serta melarang penggunaan unsur perkauman, hasutan atau sentimen yang boleh menggugat keharmonian masyarakat.

Dalam kenyataan sama, SPR menyeru semua pihak agar berkempen secara sihat berhemah dan mematuhi undang-undang yang ditetapkan demi memastikan PRK Kinabatangan dan Lamag berjalan dalam suasana aman dan teratur.

TAMAT

Share This Article