Semangat Deepavali Simbol Perpaduan Rakyat Pelbagai Kaum- Datuk Mizma

sabahheadlines
3 Min Read

LAHAD DATU, 9 Nov-Sambutan Deepavali bukan sahaja diraikan sebagai Pesta Cahaya bagi masyarakat India tetapi turut menjadi lambang perpaduan rakyat pelbagai kaum di Sabah.

Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan) Datuk Mizma Appehdullah berkata, nilai-nilai murni yang terkandung dalam perayaan tersebut membawa kemenangan cahaya mengatasi kegelapan serta kebaikan mengatasi kejahatan wajar dijadikan pedoman bersama bagi mengekalkan keharmonian masyarakat majmuk di negeri ini.

“Malam ini sungguh bermakna kerana saya melihat kehadiran saudara-saudari daripada pelbagai kaum India, Cina dan Melayu. Walaupun berbeza budaya.. bahasa dan agama,.. hati kita tetap satu iaitu untuk melihat masyarakat kita hidup aman, bersatu dan saling menghormati,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Malam Deepavali 2025 anjuran Persatuan Gabungan Komuniti India Sabah (PGKIS) yang diadakan di Faridah Hanum Grand Hall, di sini malam tadi.

Turut hadir Presiden Gabungan Komuniti India Sabah, Datuk A. Nagaraju.

Mizma turut merakamkan penghargaan kepada Datuk A. Nagaraju atas usaha berterusan memperkukuh hubungan antara kaum melalui penganjuran program kebudayaan yang inklusif.

“Setiap kali sambutan Deepavali, Datuk Nagaraju tidak pernah melupakan sahabat-sahabat dari pelbagai suku kaum. Saya amat menghargai semangat ini,” katanya sambil mengucapkan Selamat Menyambut Deepavali 2025 kepada masyarakat Hindu.

Beliau turut menekankan pentingnya kestabilan politik negeri bagi memastikan kesinambungan dasar dan pelan pembangunan yang telah dirancang kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

“Yang penting bagi kita bukan siapa calon tetapi kesinambungan kepimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor sebagai Ketua Menteri. Bila kerajaan bertukar banyak dasar terhenti dan pembangunan terbengkalai,” katanya.

Menyentuh isu permohonan taraf penduduk bagi individu yang telah lama menetap di Sabah khususnya mereka dari luar negeri ini yang ingin menjadikan Sabah sebagai tempat tinggal tetap.

“Saya yakin perkara ini boleh diselesaikan dengan baik melalui perbincangan bersama Ketua Menteri. Ini bukan isu besar tetapi memerlukan keprihatinan dan pendekatan yang betul,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa keutamaan kerajaan hari ini ialah memastikan rakyat hidup sejahtera, mengekalkan perpaduan kaum serta kestabilan politik yang menjadi asas kemajuan negeri Sabah.

“Mudah-mudahan keharmonian dan kestabilan ini akan terus kekal, agar semua perancangan baik untuk negeri Sabah dapat diteruskan,” katanya.

TAMAT

Share This Article