Gangguan Air Berlarutan di Papar, Kerajaan Ambil Tindakan Segera

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU,9 JANUARI 2026-Kerajaan memberi jaminan tindakan segera akan diambil bagi menangani gangguan kritikal bekalan air di Mukim Kinarut dan Kawang, Papar, yang berlarutan sejak akhir Disember lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata satu mesyuarat khas dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah telah diadakan bersama jabatan, agensi berkaitan serta kontraktor dua projek bekalan air di Papar bagi mengenal pasti punca masalah dan merangka penyelesaian menyeluruh.

Menurut beliau, siasatan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) mendapati berlaku gangguan pada injap pintu air di dua Booster Pump yang menyalurkan bekalan ke Mukim Kinarut dan Kawang dipercayai melibatkan pengalihan bekalan ke kawasan lain sehingga menjejaskan jadual catuan sedia ada.

“Susulan dapatan itu saya telah membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap unsur khianat dan sabotaj ke atas utiliti awam,” katanya dalam satu kenyataan.

Armizan berkata, meskipun JANS akan menjalankan siasatan dalaman siasatan pihak berkuasa perlu dibuat kerana ia melibatkan kemungkinan kesalahan jenayah yang memberi kesan besar kepada rakyat.

Sebagai langkah segera, kerajaan akan melaksanakan penyambungan silang antara rangkaian paip LRA Kogopon ke tangki utama Kawang bagi mempercepatkan penyaluran bekalan air selain meningkatkan kapasiti pemprosesan LRA Kogopon 1 sebanyak 10 peratus secara interim.

Katanya, kedua-dua langkah itu disasarkan siap dalam tempoh dua minggu sebelum mula beroperasi manakala Setiausaha Kerajaan Negeri sendiri akan turun memantau pelaksanaan di lapangan.

Dalam masa sama, penghantaran air melalui lori tangki akan diteruskan dengan kerjasama pelbagai pihak bagi mengurangkan kesulitan penduduk.

Armizan menegaskan fokus utama ketika ini adalah memastikan bekalan air dapat distabilkan secepat mungkin demi kesejahteraan rakyat di kawasan terjejas.

TAMAT

Share This Article