DISYAKI SABOTAJ UTILITI, ARMIZAN MOHON PDRM SELIDIK GANGGUAN AIR PAPAR

sabahheadlines
2 Min Read

KINARUT,9 JANUARI 2026 -Ahli Parlimen Papar yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, tampil membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap gangguan serius bekalan air di daerah Papar yang dipercayai melibatkan perbuatan khianat.

Beliau memaklumkan, langkah itu diambil susulan hasil siasatan lapangan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) yang menunjukkan wujud campur tangan tidak sah terhadap kemudahan utiliti awam sehingga menjejaskan kepentingan pengguna.

Isu tersebut dibincangkan dalam satu mesyuarat khas yang persetujui oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor dan dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah bersama JANS, agensi berkaitan serta kontraktor projek bekalan air di Papar, bagi meneliti punca gangguan berterusan sejak akhir Disember lalu.

Menurut penjelasan pasukan teknikal khas JANS yang dihantar ke lapangan mendapati berlaku gangguan pada injap pintu air (sluice valve) di dua booster pump, dipercayai melibatkan alihan bekalan air keluar dari Mukim Kinarut/Kawang sehingga melepasi sempadan daerah papar.

Armizan berkata, situasi itu mengganggu pelaksanaan catuan air, selain mengurangkan kapasiti bekalan sedia ada sebelum Loji Rawatan Air Kogopon 2 siap sepenuhnya pada suku keempat 2026.

“Perkara ini melibatkan kepentingan awam dan berunsur jenayah. Justeru, siasatan PDRM amat diperlukan supaya tindakan sewajarnya dapat diambil, di samping siasatan dalaman yang sedang dijalankan JANS,” katanya.

TAMAT

Share This Article