Maritim Sabah Rampas Hampir RM50 Juta Sepanjang 2025, 273 Kes Direkodkan

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU, 9 Januari – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan merekodkan sebanyak 273 kes tangkapan dengan nilai rampasan dianggarkan mencecah RM48.5 juta sepanjang tahun 2025 hasil penguatkuasaan berterusan dan operasi bersepadu di perairan negeri ini.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, rampasan itu membabitkan pelbagai kes berprofil tinggi termasuk penyeludupan dadah, minuman keras dan rokok, penahanan bot nelayan Vietnam, serta rampasan barangan kawalan seperti minyak masak, beras dan petrol.

Menurut beliau, sepanjang tempoh sama pihaknya turut melaksanakan sebanyak 59,119 pemeriksaan dan 28,320 penggeledahan sekali gus mencerminkan tahap kesiapsiagaan tinggi Maritim Malaysia dalam membanteras jenayah maritim dan pelanggaran undang-undang di perairan negara.

Bagi memperkukuh keberkesanan operasi, Maritim Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan melaksanakan pelbagai operasi serta latihan bersama agensi lain antaranya Op Naga Sabah, Op MARDOF selain eksesais Search and Rescue Exercise (SAREX) dan Maritime Mass Rescue Operation (MMRO).

Pendekatan bersepadu ini bertujuan meningkatkan koordinasi, keupayaan tindak balas dan kesiapsiagaan menghadapi ancaman keselamatan maritim.

Dalam pada itu, Khairulanuar memaklumkan sebanyak 23 kes operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) direkodkan sepanjang 2025, dengan 244 mangsa berjaya diselamatkan melibatkan anggaran nilai harta berjumlah RM23.1 juta.

Beliau turut menjelaskan beberapa pencapaian penting lain termasuk penempatan kapal pemberian US Coast Guard, Ex-USCG Cutter Steadfast di Sabah, penerimaan separa siap Kompleks Zon Maritim Semporna serta pengambilan pertama Pasukan Kadet Maritim (PASKAM) Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Selain itu, pelaksanaan Program Jelajah MADANI yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut disifatkan sebagai pencapaian signifikan dalam memperkukuh hubungan kerajaan dengan komuniti maritim setempat.

Mengulas keseluruhan pencapaian tersebut Khairulanuar menegaskan ia adalah hasil komitmen tinggi seluruh warga Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan dengan sokongan erat agensi keselamatan lain serta masyarakat setempat.

Beliau menegaskan Maritim Malaysia akan terus memperkukuh kesiapsiagaan operasi, keupayaan aset dan modal insan bagi memastikan keselamatan perairan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.

TAMAT

Share This Article