KOTA KINABALU, 4 Januari 2026 – Kejadian tanah runtuh yang berlaku di Kampung Numbak, di sini lewat malam tadi mengakibatkan tiga buah rumah mengalami kerosakan serius namun tiada mangsa dilaporkan terlibat.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.40 malam sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu tiba di lokasi pada jam 12.25 tengah malam, kira-kira 17 kilometer dari balai.
Operasi pemantauan dan penilaian keselamatan diketuai Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Asama Saruddin bersama empat anggota bomba.
“Hasil pemeriksaan mendapati sebuah rumah berkeluasan 16 x 15 kaki mengalami kerosakan 100 peratus, manakala rumah kedua dengan saiz sama mengalami kerosakan 90 peratus dan rumah ketiga 70 peratus,” katanya.
Beliau berkata, menurut penduduk kampung tiada mangsa berada di dalam rumah ketika kejadian berlaku sekali gus mengelakkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa.
Bagaimanapun, seramai tujuh penghuni dilaporkan terjejas akibat kerosakan kediaman mereka.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.45 pagi selepas pihak bomba memastikan kawasan kejadian berada dalam keadaan selamat.
Pemantauan lanjut akan dilakukan dari semasa ke semasa bagi mengelakkan sebarang risiko susulan.
TAMAT
