PAITAN, 19 APRIL – Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk James Ratib mencadangkan supaya Sekolah Kebangsaan (SK) Simpangan dipindahkan ke lokasi baharu yang lebih selamat di tapak Koperasi Pembangunan Desa (KPD) Kampung Simpangan.
Beliau berkata, cadangan itu dibuat selepas meninjau sendiri keadaan semasa di lokasi sekolah berkenaan selain mengambil kira syor yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
Menurutnya, langkah pemindahan itu penting bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan murid serta warga sekolah terus terjamin.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar tapak asal pembinaan SK Simpangan di Pekan Paitan dimanfaatkan bagi pembinaan sebuah sekolah baharu iaitu SK Pekan Paitan, bagi menampung peningkatan jumlah murid di kawasan berkenaan.
“Cadangan ini dilihat sebagai penyelesaian jangka panjang yang mampu memenuhi keperluan pendidikan setempat yang semakin berkembang,” katanya.
Sementara menunggu pelaksanaan projek berkenaan murid-murid SK Simpangan akan ditempatkan sementara di Dewan Terbuka Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpangan.
Beliau menjelaskan kemudahan sekatan atau ‘partition’ akan disediakan di dewan tersebut bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dalam keadaan lebih selesa serta teratur.
James berkata, kerajaan negeri komited dalam memastikan akses pendidikan yang selamat, kondusif dan berkualiti terus dinikmati oleh semua pelajar di Sabah tanpa mengira lokasi.
Dalam lawatan sama beliau turut menerima taklimat daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah bagi memastikan perancangan berkaitan dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.
