KOTA KINABALU, 3 Januari 2026 – Seramai tujuh mangsa daripada sebuah keluarga berjaya dipindahkan dengan selamat selepas kediaman mereka dinaiki air dalam kejadian banjir di Kampung Brunai, Jalan Universiti Malaysia Sabah (UMS) malam tadi.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.30 malam sebelum jentera tiba di lokasi kira-kira 24 minit kemudian, pada jam 10.54 malam.
Operasi pemindahan diketuai Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Asama Saruddin dengan kekuatan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu.
“Seramai tujuh mangsa daripada satu Ketua Isi Rumah (KIR) berjaya dipindahkan dalam keadaan selamat.
Semua mangsa dibawa ke rumah saudara terdekat menggunakan lori dan kenderaan pacuan empat roda bomba,” katanya.
Mangsa yang terlibat terdiri daripada dua lelaki dewasa, tiga perempuan dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.
JBPM turut menggerakkan beberapa aset termasuk sebuah lori, jentera EMRS dan sebuah kenderaan Vigo bagi melancarkan operasi pemindahan.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.40 malam selepas pihak bomba memastikan tiada lagi mangsa yang perlu dipindahkan.
Pemantauan berterusan akan dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan situasi kekal terkawal.
TAMAT
