SANDAKAN, 28 Dis — Polis mengeluarkan sebanyak 18 saman dalam satu Operasi Bersepadu yang dijalankan di Jalan Utara, Batu 4, di sini, malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman, berkata operasi yang dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik itu bertujuan membanteras serta mencegah aktiviti lumba haram yang dikenal pasti aktif di sekitar kawasan Bandar Prima dan Bandar Indah Jaya.
Menurutnya, dalam operasi berkenaan pihak polis telah memeriksa sebanyak 90 buah kenderaan terdiri daripada 30 kereta, 20 kenderaan pacuan empat roda, 25 kenderaan pelbagai guna (MPV) serta 15 buah motosikal.
Selain itu seramai 100 individu turut diperiksa dalam operasi yang berakhir kira-kira jam 1 pagi.
“Hasil operasi sebanyak 18 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tidak memiliki lesen memandu, pengubahsuaian kenderaan tanpa kebenaran serta cukai jalan dan lesen memandu yang telah tamat tempoh,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan bahawa operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi mengekang aktiviti menyalahi undang-undang serta memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya.
Dalam pada itu Polis Daerah Sandakan menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya serta tidak terlibat dalam sebarang aktiviti yang boleh membahayakan keselamatan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.
TAMAT
