RANAU: Sabah kehilangan seorang wira senyap apabila porter veteran Gunung Kinabalu, Abbie Intang, yang lebih dikenali sebagai Badang Kinabalu, meninggal dunia pada jam 4.39 pagi tadi pada usia 68 tahun.
Allahyarham yang berasal dari Kampung Pinosuk, Kundasang bukan tokoh politik atau selebriti, namun jasanya terpahat kukuh dalam sejarah operasi pendakian Gunung Kinabalu sebagai antara porter paling lama berkhidmat di gunung tertinggi Asia Tenggara itu.
Abbie mula dikenali ramai selepas gambar ikonik beliau memikul tangki air biru seberat kira-kira 50 kilogram ke Laban Rata tular pada 2005.
Sepanjang perkhidmatannya, Allahyarham mendaki dari Timpohon Gate ke Laban Rata sejauh kira-kira enam kilometer hampir setiap hari, dengan tempoh perjalanan sekitar enam jam sambil memikul tong air seberat 33 kilogram.
Beliau kemudiannya turun dan kembali mendaki membawa dua tong gas seberat kira-kira 64 kilogram melalui laluan sama.
Beban paling berat pernah dipikulnya ialah bateri kereta seberat hampir 80 kilogram, melambangkan kekuatan fizikal serta ketabahannya yang luar biasa.
Gelaran Badang Kinabalu yang disematkan kepadanya menjadikan Allahyarham simbol keringat, pengorbanan dan kecekalan porter tempatan dalam memastikan kelancaran serta keselamatan operasi pendakian.
Pemergian Abbie Intang merupakan satu kehilangan besar buat komuniti pendakian dan rakyat Sabah, namun jasa serta legasinya akan terus dikenang dalam setiap langkah pendaki yang pernah menikmati kemudahan dan keselamatan di Gunung Kinabalu.
TAMAT
