KOTA KINABALU, 18 MEI – Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) menyifatkan pindaan Perlembagaan parti yang diluluskan dalam Persidangan Agung Khas di Sabah International Convention Centre (SICC) sebagai langkah penting bagi memperkukuh struktur organisasi serta memperkemas gerak kerja parti.
Ketua Penerangan Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pindaan itu melibatkan penstrukturan semula daripada 74 bahagian kepada 26 bahagian berdasarkan 25 kawasan Parlimen di Sabah serta Parlimen Labuan.
Menurut beliau, langkah berkenaan akan membantu meningkatkan koordinasi jentera parti, mengurangkan pertindihan tugas serta memastikan gerak kerja lebih tersusun dan berkesan di semua peringkat.
Beliau berkata, penyusunan semula itu juga membuktikan kesiapsiagaan PGRS dalam menghadapi cabaran politik semasa selain memperkukuh kedudukan parti sebagai platform tempatan Sabah yang stabil dan berdisiplin.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menyambut baik penyertaan bekas ADUN Liawan, Rasinin Kautis bersama kira-kira 150 ahli Warisan Liawan ke dalam PGRS.
Katanya, kemasukan itu menjadi petanda bahawa perjuangan parti di bawah kepimpinan Hajiji Noor terus mendapat keyakinan rakyat dan pemimpin akar umbi.
Beliau menegaskan PGRS akan terus mendukung agenda kestabilan politik, perpaduan serta pembangunan negeri menerusi gagasan Sabah Maju Jaya demi kepentingan rakyat.
