PENAMPANG, 23 Disember 2025- Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick menyempurnakan majlis penyampaian insentif dan penghargaan kepada atlet, jurulatih, pengurus serta urusetia pasukan Sabah Games (SAGA) 2025 Daerah Penampang yang beraksi dalam kejohanan berkenaan di Tawau, Oktober lalu.
Dalam kejohanan tersebut, pasukan SAGA Penampang mencatatkan kejayaan membanggakan apabila berjaya meraih keseluruhan 45 pingat dalam pelbagai acara yang dipertandingkan.
Sebagai penghargaan para atlet menerima insentif wang tunai sebanyak RM1,000 bagi setiap pingat emas, RM700 bagi pingat perak dan RM500 bagi pingat gangsa. Insentif berkenaan disumbangkan oleh pemimpin-pemimpin dalam kawasan Parlimen Penampang dan disalurkan melalui Majlis Perbandaran Penampang.
Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, berkata pemberian insentif itu merupakan tanda penghargaan atas usaha dan pencapaian para atlet selain diharap dapat menjadi pemangkin kepada kecemerlangan sukan di daerah itu pada masa akan datang.
“Sebagai Ahli Parlimen Penampang, saya berharap insentif ini dapat terus membakar semangat atlet, jurulatih dan pengurus untuk terus mengharumkan nama Penampang dalam bidang sukan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pemimpin dan pihak yang telah memberikan sokongan berterusan kepada pasukan SAGA Penampang.
Menurutnya, kejayaan kutipan pingat itu juga wajar dijadikan motivasi kepada pasukan lain yang bakal menyertai kejohanan sukan akan datang termasuk penganjuran SAGA seterusnya yang dijadualkan berlangsung di Sandakan.
Pada masa sama Ewon menegaskan keperluan untuk menambah baik kemudahan dan infrastruktur sukan di Penampang berikutan maklum balas yang diterima daripada jurulatih dan pengurus beberapa sukan seperti karate, taekwondo, bola keranjang dan badminton yang berdepan kekangan kemudahan latihan.
Beliau berkata ketiadaan dewan masyarakat yang selamat dan berfungsi menyukarkan sesi latihan, khususnya bagi sukan tertentu, dan perkara itu akan dibawa ke peringkat mesyuarat tindakan daerah untuk perhatian dan tindakan lanjut.
“Apabila kemudahan sukan ini dapat dipertingkatkan, saya percaya Penampang akan lebih bersedia untuk menjadi tuan rumah SAGA atau kejohanan sukan lain pada masa akan datang,” katanya.
TAMAT
