Wanita Ditahan Dalam Ops Tapis Narkotik di Pusat Bandar Sandakan

sabahheadlines
1 Min Read

SANDAKAN: Seorang wanita ditahan polis selepas disyaki memiliki serta mengambil dadah dalam Ops Tapis Narkotik yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan di Jalan Dua Pusat Bandar Sandakan, pada Isnin.

Operasi yang dijalankan kira-kira jam 11.45 pagi itu bertujuan membanteras aktiviti pengedaran dan penagihan dadah di kawasan pusat bandar yang dikenal pasti sebagai lokasi berisiko.

Hasil pemeriksaan mendapati suspek disyaki memiliki dadah jenis syabu dan seterusnya ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Selain itu suspek turut disyaki memasukkan dadah berbahaya ke dalam tubuh badan sendiri sebelum dibawa ke BSJND IPD Sandakan bagi menjalani ujian saringan awal air kencing.

Keputusan ujian mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine lalu ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Suspek kini direman di lokap IPD Sandakan bagi membantu siasatan lanjut.

Pelaksanaan operasi ini selaras dengan komitmen Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Polis (ACP) George B. Abd Rakman dalam usaha berterusan membanteras jenayah dadah serta memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat di daerah ini.

TAMAT

Share This Article