KOTA KINABALU: 17 OKT – Pendidikan kini menjadi teras utama dalam menggerakkan pembangunan dan ekonomi Sabah apabila kerajaan negeri memperkukuh pelbagai inisiatif bagi melahirkan modal insan berkemahiran tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif Cyberjaya College Kota Kinabalu, Dr. Awang Faisal Assyiffa, berkata pelaburan besar kerajaan negeri dalam sektor pendidikan membuktikan komitmen tinggi membina masa depan Sabah yang makmur, berilmu dan berdaya saing.
Beliau berkata, sejak 2021 hingga 2025, kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM1.3 bilion bagi program pendidikan — jumlah tertinggi dalam sejarah Sabah.
“Melalui Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) sebanyak RM136 juta pada 2025, serta inisiatif seperti BUDI, BAIK, BISTARI, BAGUS dan SUBFLY, lebih ramai pelajar luar bandar dan keluarga B40 dapat melanjutkan pengajian tanpa terbeban kewangan,” katanya.
Menurut beliau, usaha memperkukuh pendidikan dan latihan teknikal (TVET) juga menjadi strategi penting dalam menyiapkan tenaga kerja berkemahiran yang selari dengan keperluan industri tempatan.
“Pendidikan bukan sekadar akademik, tetapi pemangkin utama pertumbuhan ekonomi negeri dengan melahirkan tenaga kerja inovatif dan berdaya tahan,” katanya.
Beliau berkata, program seperti GRS-SUBFLY bukan sahaja membantu pelajar luar bandar, malah merangsang ekonomi domestik dalam sektor pengangkutan dan perkhidmatan.
Dr. Awang Faisal turut menekankan kepentingan kerjasama erat antara kerajaan negeri, institusi pengajian tinggi dan industri melalui penyelidikan, program TVET berasaskan industri serta pendidikan komuniti.
“Kerjasama semua pihak penting untuk membentuk modal insan holistik dan mampan yang menjadi penggerak utama ekonomi Sabah,” katanya.
Beliau menegaskan, pelaburan berterusan kerajaan negeri dalam sektor pendidikan adalah strategi jangka panjang membina asas kemajuan Sabah ke arah negeri maju dan berdaya saing.
TAMAT
