KIMANIS, 10 Okt – Dua lelaki cedera selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki terbabas di Jalan Kimanis–Keningau, lewat malam tadi.
Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, PBK I Nazir Chek Lah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.42 malam sebelum sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera Vigo digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 27 kilometer.
“Sebaik tiba di lokasi pada jam 12.07 tengah malam, kami mendapati sebuah kenderaan terbabas di bahu jalan. Seorang mangsa berjaya keluar sendiri manakala seorang lagi yang tersepit di bahagian pemandu berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kedua-dua mangsa, masing-masing berusia 42 dan 26 tahun, mengalami kecederaan di bahagian tangan kanan, kaki dan kepala. Mereka diberikan rawatan awal di lokasi sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.
Operasi yang turut dibantu oleh KKM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu tamat sepenuhnya pada jam 1.11 pagi.
TAMAT
