KOTA BELUD, 8 Okt – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan dua pelancong warga China yang dilaporkan hilang di perairan Pulau Mantanani, di sinimemasuki hari ketiga.
Tumpuan pencarian di kawasan hutan dan pesisir pantai bagi mengesan pelancong yang sehak dilaporkan hilang pada Ahad.
Komander Operasi Kanan, PKPgB Mohd Razali Ahmad @ Awang Ahmad, memaklumkan pencarian hari ketiga bermula jam 8.00 pagi hari ini dengan pembahagian kepada dua pasukan utama — Team A menjalankan pencarian di kawasan hutan.
Manakala Team B menumpukan pencarian di pesisir pantai selatan pulau dalam radius satu kilometer menggunakan kaedah water surface search.
Operasi itu diteruskan dengan bantuan aset darat serta laut daripada semua agensi penyelamat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, PPgB Elge Bakuk, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Balai Polis Kota Belud pada 6 Oktober lalu jam 9.25 pagi, memaklumkan kehilangan dua pelancong terbabit.
Menurut laporan awal polis, mangsa lelaki berusia 25 tahun dan wanita 28 tahun, kedua-duanya warganegara China, dilaporkan menginap di sebuah resort di pulau ini pada 4 Oktober dan dijadualkan daftar keluar keesokan harinya.
Namun, sehingga kini mereka belum keluar dari pulau berkenaan, manakala barangan peribadi mereka masih berada di dalam bilik penginapan.
Seramai 29 anggota penyelamat digerakkan dalam operasi itu melibatkan pelbagai unit termasuk:
BBP Kota Belud (9 anggota)
Unit Drone Zon Kudat (2 anggota)
Unit Penyelam (PPDA) Zon Kudat (7 anggota)
PPDA Zon Kota Kinabalu (6 anggota)
Unit K9 (2 anggota)
Operasi turut disertai agensi lain seperti PDRM (33 anggota), APMM (6 anggota), APM (5 anggota) dan wakil NGO (6 orang).
Maklumat lanjut akan dikemaskini dari semasa ke semasa.
TAMAT