KERETA TERBAKAR SELEPAS BERTEMBUNG, 6 MANGSA CEDERA RINGAN

sabahheadlines
1 Min Read

KOTA KINABALU, 27 Sept – Enam mangsa cedera ringan selepas sebuah kereta jenis MPV bertembung dengan kereta persendirian sebelum terbakar 100 peratus dalam kejadian di hadapan Kampung Kepungit Kepayan, di sini tengah hari tadi.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.32 tengah hari sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu bergegas ke lokasi.

Seramai 11 anggota bersama tiga jentera termasuk LFRT, EMRS dan RIM digerakkan ke lokasi dengan operasi diketuai oleh PBK II Adanan bin Sapawi.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati sebuah kereta Subaru terbakar sepenuhnya akibat perlanggaran dengan sebuah Perodua Myvi. Semua enam mangsa yang terdiri daripada empat penumpang Myvi dan dua penumpang Subaru telah dikeluarkan orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.

“Kesemua mangsa termasuk dua kanak-kanak lelaki dihantar ke hospital menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan jentera EMRS bomba,” katanya.

Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula dengan kaedah ‘offensive’ menggunakan sumber air dari tangki jentera. Operasi terkawal pada jam 12.50 tengah hari sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.03 petang.

TAMAT

Share This Article