BEAUFORT (25 SEPTEMBER): Umat Islam disaran agar menjadikan sambutan Maulidur Rasul bagi menilai pencapaian.
Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Isnin Haji Aliasnih berkata sambutan itu adalah ruang terbaik bagi umat Islam melihat dan menilai pencapaian yang dicatat.
“Sambutan ini adalah peluang terbaik untuk kita meningkatkan kejayaan dan memperbaiki segala kelemahan.
“Kita jadikan Rasulullah sebagai contoh yang terbaik bagi mencapai kecemerlangan, ” katanya kepada media di sini hari ini.
Isnin sebelum itu merasmikan sambutan Maulidur Rasul peringkat daerah Beaufort.
Katanya, tiada contoh terbaik untuk umat Islam selain Rasulullah dan al-Quran sebagai panduan.
Dalam pada itu Isnin meminta agar umat Islam sentiasa berusaha memperkukuhkan persefahaman dan perpaduan yang sedia ada.
Katanya umat Islam perlu mengelak daripada percaya dan dipengaruhi oleh dakyah serta fitnah yang disebarluaskan oleh pihak tertentu.
“Ketika ini kita melihat pelbagai isu dipergunakan oleh pihak tertentu untuk mempengaruhi umat Islam …jangan terperangkap dan jangan terpedaya,” katanya lagi.
Tamat

