Tiga Cedera dalam Kemalangan Lori dan Pacuan empat roda di Lahad Datu

sabahheadlines
1 Min Read

Oleh: Syarmilah Salleh

LAHAD DATU, 23 Sept – Tiga lelaki cedera termasuk seorang parah selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan sebuah lori tiga tan dan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kampung Damai, tengah hari tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa bin Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.42 tengah hari melalui MERS999 sebelum sembilan anggota bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira lima kilometer dari balai.

“Sebaik tiba di lokasi seorang mangsa lelaki berusia 41 tahun didapati tersepit di dalam lori dan berjaya dikeluarkan anggota bomba.

” Dua lagi mangsa lelaki berusia 19 dan 15 tahun yang berada dalam kenderaan pacuan empat roda pula berjaya keluar sendiri sebelum pasukan tiba,” katanya.

Menurutnya, semua mangsa diberikan rawatan awal oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pasukan EMRS bomba sebelum dihantar ke Hospital Lahad Datu bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Operasi ditamatkan pada jam 1.48 petang selepas keadaan di lokasi disahkan terkawal dan tiada lagi bahaya lain,” jelasnya.

Turut membantu di lokasi ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pegawai perubatan KKM.

TAMAT

Share This Article