Oleh: Jalie Mohamad
KOTA KINABALU, 12 September – Perkhidmatan bas KK Hop On Hop Off (HOHO), kini menjadi salah satu tarikan pelancongan baharu di bandar raya
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah, YB Datuk Joniston Bangkuai berkata perkhidmatan bas dikenali sebagai HOHO itu akan beroperasi dari KK Sentral.
” KK Sentral merupakan hentian pertama dan utama bagi perkhidmatan bas ini.

“Bas dua tingkat dengan tingkat atas separa berbumbung, membolehkan penumpang menikmati pemandangan bandar raya secara terbuka dan selesa,katanya selepas melancarkan perkhidmatan bas itu di sini hari ini.
Katanya Bas HOHO akan melalui beberapa lokasi ikonik dan kawasan tumpuan pelancong di sekitar Kota Kinabalu, menjadikannya cara terbaik untuk meneroka keindahan dan keunikan ibu negeri Sabah.
Menurut Datuk Joniston, pengenalan perkhidmatan ini bukan sahaja menambah nilai kepada sektor pelancongan negeri, malah memberi kemudahan kepada pelancong serta warga tempatan yang ingin meninjau tarikan-tarikan sekitar bandar secara santai dan mesra alam.
“Bas HOHO adalah inisiatif yang tepat pada masanya untuk meningkatkan pengalaman pelancong di Sabah.
Ia juga menunjukkan komitmen kita dalam memperkukuh infrastruktur pelancongan dan menyediakan pilihan pengangkutan yang menarik serta efisien di dalam bandar,” ujar beliau.
Perkhidmatan bas HOHO dijangka beroperasi setiap hari dengan kekerapan tertentu, dan tiket boleh diperoleh secara dalam talian atau di lokasi-lokasi tumpuan pelancong terpilih.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Negeri Sabah, melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, dalam memperkasa industri pelancongan domestik dan antarabangsa.
Tamat
