LAHAD DATU, 12 APRIL – Hubungan kerjasama antara institusi perbankan Islam dan institusi masjid di daerah ini terus diperkukuh menerusi Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung di Masjid Nurul Aman, pagi Sabtu.
Pengerusi Masjid Nurul Aman, Haji Dr. Mohd Ayub bin Haji Yaakub menyifatkan kolaborasi bersama Maybank Islamic Berhad sebagai satu langkah proaktif dalam menyatukan masyarakat setempat melalui penganjuran aktiviti yang bermanfaat.
Majlis tersebut turut dihadiri Pengurus Maybank Cawangan Lahad Datu, Puan Erawati Binti Mappayompa serta wakil Maybank Islamic, Hendra Octovian Mohd.
Menurut Dr. Ayub, kehadiran barisan pengurusan Maybank membuktikan komitmen sektor perbankan dalam menyokong aktiviti kemasyarakatan selain mendekatkan institusi kewangan dengan pelanggan dan komuniti setempat.
Katanya, penganjuran majlis berkenaan bertujuan merapatkan jurang komunikasi serta membina ukhuwah yang lebih erat dalam kalangan masyarakat.
“Tujuan kita adalah untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat khususnya kariah Masjid Nurul Aman serta rakan-rakan di daerah Lahad Datu tanpa mengira latar belakang,” katanya.
Dalam pada itu pihak masjid turut menzahirkan penghargaan atas sokongan padu yang diberikan oleh Maybank Islamic khususnya dalam memperkukuh sinergi antara sektor korporat dan institusi agama.
Beliau turut menegaskan bahawa keterbukaan pihak masjid dalam menerima kerjasama dengan mana-mana institusi kewangan Islam amat dialu-alukan bagi memperkasa program bersama demi pembangunan syiar Islam.
“Kita berharap kerjasama ini tidak terhenti di sini..sebaliknya diteruskan melalui pelbagai aktiviti lain yang memberi impak positif kepada kesejahteraan ummah di Lahad Datu,” tambahnya.
