BANJIR KENINGAU: BOMBA SELAMATKAN SEORANG MANGSA

Oleh: Syarmilah Salleh

KENINGAU, 7 Sept – Seorang wanita berusia 45 tahun berjaya diselamatkan dalam kejadian banjir di Kampung Tuntumulud, Bingkor di sini petang ahad.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.15 malam menerusi Talian Balai sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau dengan kekuatan lapan anggota digerakkan ke lokasi.

“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 7.36 malam dan mendapati beberapa kawasan perumahan dinaiki air. Seorang mangsa wanita berusia 45 tahun berjaya dipindahkan ke rumah keluarganya yang berdekatan.

“Selepas pemindahan dilakukan, pasukan bomba meneruskan pemantauan di kawasan terjejas dan mendapati paras air semakin surut,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Operasi yang diketuai Komander Operasi, PBK I Ranizan Bin Samirin itu ditamatkan pada jam 7.59 malam.

TAMAT