TIADA SEKATAN GUNA MY KAD UNTUK SUBSIDI BUDI 95 JIKA PATUH UNDANG-UNDANG – JPN

sabahheadlines
2 Min Read

KUALA LUMPUR, 6 APRIL– Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menegaskan tiada sekatan dikenakan terhadap penggunaan MyKad bagi menikmati subsidi di bawah inisiatif BUDI95 selagi ia digunakan mengikut peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa.

Dalam kenyataan hari ini, JPN memaklumkan penjelasan tersebut dibuat susulan kekeliruan berhubung tindakan penguatkuasaan terhadap kes penyalahgunaan MyKad oleh individu selain pemilik sah.

Menurut jabatan itu penggunaan atau pemilikan MyKad oleh pihak lain merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan 25 Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan tindakan undang-undang boleh diambil terhadap individu terlibat.

Bagaimanapun JPN menegaskan bahawa penguatkuasaan tersebut tidak bertujuan menyekat mana-mana pihak daripada menikmati subsidi kerajaan sebaliknya bagi memastikan sistem pengagihan bantuan dilaksanakan secara telus dan bersasar.

“Rakyat boleh terus menggunakan MyKad masing-masing untuk urusan berkaitan subsidi termasuk pembelian bahan api, selagi mematuhi peraturan ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

JPN turut menjelaskan bahawa siasatan semasa tertumpu kepada kes melibatkan penyalahgunaan beberapa keping MyKad oleh seorang individu di Kelantan dan bukan isu sekatan terhadap penggunaan kad pengenalan bagi tujuan subsidi.

Sehubungan itu orang ramai diingatkan supaya tidak menyerahkan MyKad kepada pihak lain bagi sebarang urusan bagi mengelakkan implikasi undang-undang serta risiko penyalahgunaan identiti.

Dalam pada itu JPN menegaskan komitmennya untuk memastikan MyKad terus berfungsi sebagai dokumen pengenalan diri rasmi yang selamat dan dipercayai selain menyokong pelaksanaan inisiatif kerajaan termasuk BUDI95.

Share This Article