sh@ Syarmillah Salleh
TUARAN, 5 Sept – Lima lelaki maut manakala seorang lagi terselamat dalam kemalangan membabitkan sebuah lori treler dan sebuah kereta pelbagai guna (MPV) di Jalan Sulaman Gayang.
Kemalangan berlaku di hadapan Pusat Latihan Rela Tuaran, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.09 petang itu, kereta MPV yang dinaiki lima mangsa dipercayai bertembung dengan lori treler sebelum terbabas ke bahu jalan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada jam 2.09 petang sebelum menggerakkan sepasukan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu ke lokasi.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi pada jam 2.50 petang, didapati kemalangan melibatkan sebuah lori treler dan sebuah kereta MPV.
“Seramai lima mangsa yang berada di dalam kenderaan MPV itu dikeluarkan menggunakan peralatan khas Rescue Tools, namun kesemua mereka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mangsa yang maut terdiri daripada empat lelaki berusia sekitar 20-an dan seorang lelaki dewasa, manakala pemandu lori treler tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mayat semua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, manakala pemandu lori treler berkenaan dilaporkan selamat.
Operasi yang diketuai Komander Operasi, PBK I Masri bin Gari, ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.20 petang selepas memastikan kawasan kemalangan selamat.
Turut membantu di lokasi ialah pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM.
Tamat
