Umat Islam perlu hayati sirah Rasulullah

sabahheadlines
3 Min Read

sh@ Jalie Mohamad

SANDAKAN (5 September): Umat Islam disaran agar sentiasa menghayati sirah Rasullulah dan menjadikannya sebagai amalan kehidupan harian.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata ia mampu membawa umat Islam sebagai bertanggungjawab.

Beliau berkata, sambutan Maulidur Rasul bukan sekadar memperingati sejarah kelahiran Rasullulah tetapi juga sebagai menzahirkan rasa kecintaan terhadap
Baginda SAW, serta komitmen untuk terus menjadikan sunnah Baginda dan Islam
sebagai Ad-din dalam membentuk masyarakat madani yang progresif, sejahtera dan berakhlak mulia.

“Rasulullah SAW membina masyarakat Madinah dengan asas keimanan, keadilan
sosial dan perpaduan antara kaum.

“Inilah model yang patut kita contohi dan sesuaikan dengan realiti Sabah sebagai sebuah negeri yang kaya dengan kepelbagaian etnik, budaya dan agama,” katanya.

“Saya percaya, dengan kerjasama erat antara kerajaan, institusi agama, badan bukan
kerajaan dan seluruh lapisan masyarakat, kita mampu membentuk umat madani yang
berdaya saing, berakhlak dan berilmu; serta bersatu padu ke arah kemajuan dan
kegemilangan negeri Sabah yang tercinta,” katanya dalam perutusan perasmiannya sempena Majlis Perhimpunan
Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Menteri berkata kerajaan negeri akan terus memperhebatkan
pendidikan agama, pengukuhan institusi Islam, serta pemerkasaan golongan belia dan
wanita, sesuai dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang memberi penekanan dalam
aspek Pembangunan Modal Insan.

“Justeru, tema Sambutan Maulidur Rasul tahun ini iaitu Membangun Ummah
Madani amat bertepatan dengan cabaran serta harapan yang kita galas sebagai rakyat
dalam sebuah negeri yang berbilang suku kaum dengan kepelbagaian adat dan budaya,
serta kaya dengan sumber alam.

“Ia juga melambangkan agenda utama kerajaan dalam membina masyarakat yang
seimbang dari segi spiritual dan material; masyarakat yang menjunjung nilai-nilai murni
Islam dalam konteks kemajuan, kemakmuran serta perpaduan,” katanya

Beliau berkata, kerajaan negeri juga telah memutuskan acara sambutan
Maulidur Rasul peringkat negeri akan dibawa ke daerah-daerah lain khususnya bandar-
bandar utama di negeri ini.

“Kelmarin (Khamis) saya berpeluang meninjau pembinaan Pusat Islam Sandakan.

“Pembinaan kompleks ini adalah idea Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman ketika
beliau menjadi Ketua Menteri pada tahun 2017. Justeru, kompleks ini bukan hanya
menjadi mercu tanda baharu di bandar ini malah mampu mengangkat syiar Islam di
negeri ini,” katanya lagi.

Beliau berkata Sandakan akan terus dibangunkan selaras dengan pelan
pembangunan Hala Tuju SMJ, yang memfokuskan pembangunan yang holistik dan inklusif.

Tamat

Share This Article