sh@ Syarmillah Salleh
LAHAD DATU, 3 Sept – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang penjawat awam dan seorang pesara kerajaan kerana disyaki terbabit dalam kes pecah amanah berjumlah kira-kira RM303,000.
Kedua-dua suspek — masing-masing seorang lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 40-an hingga 60-an — ditahan kira-kira jam 12 tengah hari tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah, Cawangan Lahad Datu.
Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai bersubahat melakukan perbuatan itu antara Julai 2020 hingga Februari 2021 ketika bertugas di sebuah agensi kerajaan di negeri ini.
Mereka dipercayai menyalahgunakan harta kerajaan membabitkan lapan set baucar bayaran kepada buruh asing bernilai kira-kira RM303,000, sedangkan buruh asing tersebut tidak menerima sebarang bayaran.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah, ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan dan memaklumkan bahawa kes disiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
Tamat
