Operasi SAR Hari Ketiga, Nelayan Hilang di Muara Sungai Serusup Masih Belum Dijumpai

sabahheadlines
2 Min Read

sh@ Syarmillah Salleh

TUARAN, 3 September – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang nelayan yang hilang di muara Sungai Serusup sejak Sabtu lalu, memasuki hari ketiga.

Mangsa, Husaini Saidin, 34, dilaporkan keluar memukat ikan sekitar jam 4.30 pagi pada 30 Ogos namun gagal pulang sehingga menimbulkan kebimbangan keluarga. Penduduk kampung kemudian menemui bot mangsa dalam keadaan rosak terdampar di tebing muara sebelum laporan polis dibuat pada 1 September.

Menurut Komander Operasi, PBK I Norkizan Durudin, operasi SAR dimulakan seawal jam 8.45 pagi dengan pembahagian sektor pencarian melibatkan pelbagai agensi.
“Pasukan bomba menggunakan kenderaan pacuan empat roda Isuzu D-Max bagi membuat pencarian di pesisir Pantai Impian Jadi hingga ke Pantai Shabandar, manakala bot penyelamat bomba melakukan pencarian dari jeti Sungai Serusup hingga ke muara sungai,” katanya.

Tambah beliau, pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menumpukan pencarian di sekitar Pulau Gandang dan pesisir pantai Serusop, sementara unit dron milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat pemantauan dari udara di kawasan Kampung Baru-Baru, Tuaran.

Operasi SAR hari ini disertai 7 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Tuaran bersama kekuatan logistik melibatkan satu unit EMRS, sebuah pacuan empat roda D-Max dan sebuah bot penyelamat. Turut membantu ialah 7 anggota PDRM dan 5 anggota APM.

Setakat ini, mangsa masih belum dijumpai dan operasi akan diteruskan dengan liputan pencarian diperluaskan dari semasa ke semasa.

TAMAT

Share This Article