Perselisihan Wang Pertunangan Nekad Membunuh, Dua Lelaki Ditahan Polis

sabahheadlines
2 Min Read

​KOTA KINABALU, 13 Feb – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menyelesaikan misteri penemuan bahagian anggota tubuh manusia selepas menahan dua lelaki tempatan dalam tempoh kurang 24 jam selepas kejadian dilaporkan di sini, semalam.

​Tindakan pantas Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bermula susulan penemuan ngeri anggota badan mangsa di kawasan pembuangan sampah Pekan Indah Permai, Menggatal pada 12 Februari.

​Hasil risikan dan maklumat saksi, operasi dijalankan di beberapa lokasi strategik membawa tangkapan pertama seorang lelaki berusia 71 tahun ditahan pada jam 8.10 malam di Unit Kecemasan Hospital Queen Elizabeth II.

Sementara itu tangkapan kedua membabitkan seorang remaja lelaki berusia 19 tahun ditahan pada jam 10.30 malam di sebuah unit kediaman di Taman Seri Maju Apartment, Sepanggar.

​Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supt Syed Lot Bin Syed Ab Rahman, siasatan awal mendapati suspek utama telah mengaku terlibat dalam kejadian tersebut.

​”Motif kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan hubungan peribadi dan tuntutan wang pertunangan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

​Selain tangkapan, pihak polis turut merampas beberapa barangan bukti bagi membantu siasatan, antaranya
​Telefon bimbit, pakaian yang dipercayai di pakai semasa kejadian serta sebuah kenderaan jenis Nissan X-Trail berwarna keemasan.

​Kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

​Pihak polis menegaskan bahawa siasatan akan dijalankan secara telus dan profesional bagi memastikan keadilan ditegakkan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Kota Kinabalu atau mana-mana balai polis berhampiran.

TAMAT

Share This Article