sh@ Syarmilah Salleh
TUARAN, 31 Ogos – Kegembiraan sebuah keluarga yang mandi- manda di pantai Kampung Shahbandar bertukar tragedi.
Kegembiraan yang bertukar kesedihan itu berlaku apabila salah seorang anggota keluarga itu ditemui meninggal dipercayai lemas.
Mangsa, remaja lelaki berusia 15 tahun ditemui pada jam 7.05 malam selepas Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah mrnerima panggilan kecemasan pada jam 5.23 petang.
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran dengan kekuatan sembilan anggota digerakkan ke lokasi.
Mereka turut dibantu empat anggota dari BBP Kota Kinabalu bersama keanggotaan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Komander Operasi, PBK II Adinin Kuta berkata, sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba menjalankan pencarian menggunakan kaedah surface searching di sekitar kawasan mangsa dilaporkan hilang. Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) juga digerakkan ke lokasi bagi membantu operasi mencari dan menyelamat.
“Pada jam 7.05 malam, mangsa ditemui oleh orang awam pada jarak kira-kira satu kilometer dari lokasi awal.
“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan KKM pada jam 7.34 malam sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.50 malam.
TAMAT
