BUDAYA BULI HARUS DIBENDUNG

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU: 27 Ogos- Budaya buli di pusat pengajian dan sekolah di Sabah serta negara ini perlu dipandang serius dan dibendung.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata situasi itu tidak wajar berlaku dan ia amat mengecewakan serta menyedihkan.

“Lebih mengecewakan ialah budaya ini turut berlaku di sekolah agama,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Du’at di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini hari ini.

Sehubungan itu, Hajiji percaya konvensyen hal ehwal agama Islam adalah wadah terbaik untuk bermuhasabah dan menilai kelemahan, memperbaiki kekurangan bukan sahaja di sekolah tetapi juga dalam semua organisasi.

Beliau berkata dalam sebuah negara berbilang kaum, umat Islam tidak dapat mengelak daripada berdepan dengan isu-isu berkaitan agama khususnya di media sosial.

Beliau menyatakan kebimbangan terhadap penularan propaganda palsu termasuk berita palsu dan fitnah oleh kumpulan anti-kerajaan yang bertujuan menjatuhkan maruah atau membinasakan reputasi pemimpin tertentu menjelang pilihan raya negeri.

“Selain isu politik, terdapat juga perkara lain yang turut disensasikan, antaranya berkaitan ekonomi, keselamatan, kesihatan, alam sekitar, serta isu 3R (Kaum, Agama dan Institusi Diraja), malah institusi Yang di-Pertua Negeri juga turut dibantai dan diperlekeh,” katanya.

Katanya, kepesatan teknologi maklumat ketika ini telah membuka dunia tanpa sempadan, mengecilkan dunia menjadi sebuah perkampungan.

“Di sebalik manfaat dan kemudahan teknologi canggih ini, ia boleh mendatangkan ancaman dan cabaran khususnya umat Islam.

” Jika disalahguna atau dijadikan senjata untuk menghasilkan infografik, audio atau video palsu dengan niat menggugat kestabilan umat Islam,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, di sinilah peranan ibu bapa, pendidik, pendakwah, pemimpin organisasi dan tokoh masyarakat sebagai pembimbing serta benteng generasi muda

Tamat

Share This Article