Syaugi Mardia menyampaikan kit yang mengandungi risalah kesedaran dan peranan insolvensi
sh@jalie mohamad
SANDAKAN, 23 Ogos – Ketua Cawangan Insolvensi Malaysia Sandakan, Syauqi Mardia Baharudin menegaskan bahawa literasi kewangan adalah faktor penting bagi mengelakkan masyarakat daripada terjerumus ke dalam situasi muflis.
Menurut beliau, muflis merujuk kepada keadaan di mana seseorang individu diisytiharkan bankrap oleh mahkamah kerana gagal melunaskan hutang berjumlah RM100,000 dan ke atas.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas sesi podcast bertajuk “Muflis Apa Bah Ni” anjuran Sandakan Viral Kini (SVK) yang berlangsung malam tadi.
“Berdasarkan statistik kebangsaan, 70% daripada individu muflis adalah lelaki, manakala majoriti kes melibatkan golongan berusia 35 hingga 44 tahun. Dari segi kaum pula, Melayu mencatat jumlah tertinggi, diikuti Cina serta lain-lain,” jelasnya.
Tambah beliau, pinjaman peribadi merupakan punca utama yang membawa kepada kebankrapan, diikuti pinjaman perumahan, perniagaan dan hutang lain.
“Orang ramai perlu bijak membezakan antara keperluan dan kemahuan, serta tidak mudah terikut dengan tren semasa. Platform seperti buy now pay later bukanlah faktor utama, sebaliknya cara pengurusan kewangan individu itu sendiri yang lebih menentukan,” tegas beliau.
Sehubungan itu, Syauqi menasihatkan masyarakat agar sentiasa berwaspada dalam membuat pinjaman, selain meningkatkan ilmu pengurusan kewangan bagi memastikan mereka tidak tergolong dalam golongan muflis.
Tamat
