ESSCOM pastikan ESSZone selamat, sifar penculikan sejak 2020

sabahheadlines
3 Min Read

sh@ Syarmilah Salleh

LAHAD DATU, 16 Ogos – Eastern Sabah Security Command (ESCOM) komited memasti keselamatan di kawasan pantai timur terus dipertingkatkan.

Komitmen yang telah diperlihatkan itu membolehkan catatan sifar insiden penculikan sejak 15 Januari 2020 sehingga kini, Kata Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos.

Beliau berkata, pencapaian itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan Madani melalui Kementerian Dalam Negeri bersama ESSCOM untuk memastikan keselamatan perairan Sabah berada pada tahap tertinggi.

“Kehadiran peserta Sail Malaysia Passage To The East saban tahun adalah bukti jelas bahawa kawasan timur Sabah ini selamat. Pasukan keselamatan sentiasa bersiaga memastikan para pelayar dan pelancong dapat menikmati keindahan negeri ini dengan tenang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelepasan (flag off) program Sail Malaysia Passage To The East 2025 di W Bay Payang, di sini, hari ini.

Menurutnya, edisi tahun ini menyaksikan penyertaan 23 kapal layar dengan 51 peserta antarabangsa dari lapan negara, iaitu Australia, Amerika Syarikat, United Kingdom, New Zealand, Jerman, Panama, Isle of Man dan Singapura.

Pelayaran tahunan itu bermula di Kudat pada 1 Ogos lalu dan dijadual berakhir di Tawau pada 30 Ogos ini.

Sepanjang pelayaran, peserta melalui beberapa destinasi menarik di Pantai Timur Sabah termasuk Kudat ke Karakit, Jambongan, Silingan, Sandakan,Kinabatangan (Sukau), Tambisan dan ke Lahad Datu

Selepas pelepasan di W Bay Payang laluan peserta akan diteruskan ke Kunak, Bohey Dulang (Semporna), Tagasan Bay sebelum menamatkan perjalanan di Tawau.

Victor berharap program pelayaran ini bukan sahaja memberi pengalaman unik kepada peserta malah dapat membawa imej positif Sabah di peringkat antarabangsa.

“Saya berharap para pelayar membawa pulang kenangan manis serta menceritakan kepada masyarakat di negara masing-masing mengenai keselamatan dan keindahan negeri ini yang sememangnya dikenali sebagai ‘paradise’ di rantau ini,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada peserta kerana memberikan kerjasama baik kepada kapal pengiring ESSCOM serta kepada penganjur Sail Malaysia Committee yang diketuai Sazli Kamal Basha.

“Kerjasama erat antara peserta dan pasukan keselamatan memudahkan operasi pemantauan.

Kami hargai semangat berpasukan yang ditunjukkan sepanjang pelayaran ini,” katanya sambil mengucapkan selamat belayar dengan doa “fair winds and following seas”.

Sehubungan ituVictor menegaskan bahawa Pantai Timur Sabah bukan sahaja kaya dengan keindahan semula jadi malah mencerminkan kekayaan budaya serta komitmen negeri ini dalam memelihara khazanah alam.

“Sabah, khususnya kawasan timur adalah destinasi unik yang menawarkan pengalaman penuh makna sama ada untuk pengembaraan, penghayatan budaya mahupun percutian yang damai,” katanya.

TAMAT

Share This Article