PERWAKILAN PEMUDA UMNO LAHAD DATU TEKAD PERKUKUH PARTI, TOLAK POLITIK SABOTAJ

sabahheadlines
2 Min Read

sh@ Syarmillah Salleh

LAHAD DATU: 2 Ogos – Pemuda UMNO Bahagian Lahad Datu tetap berdiri teguh di belakang parti.

Pergerakan itu juga menolak sebarang unsur sabotaj dalam usaha memperkukuh semula kekuatan UMNO di Sabah.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Lahad Datu, Dato’ Sri Anil Jeet Singh menegaskan bahawa kekalahan parti sebelum ini bukan berpunca daripada kelemahan jentera tetapi disebabkan unsur dalaman yang merosakkan perpaduan.

“Jika kita semua bersatu, UMNO tidak akan tumbang. Sudah tiba masanya kita hentikan politik campur aduk kerana setiap parti mempunyai agenda tersendiri,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Lahad Datu Tahun 2025 di D’Ceria Ballroom, Bandar Sri Perdana, di sini hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia, Hafiz Ariffin dan dihadiri kira-kira 350 perwakilan serta ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Lahad Datu.

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabu,Naib Ketua Bahagian, Datuk Maizatul Akmam Datuk Hj Alawi, Ketua Wanita, Sitti Royani Rafael, Ketua Puteri, Normilah Mad Baral dan Setiausaha Bahagian, Mokhtar Lajasali.

Dalam ucapannya, Dato’ Sri Anil turut membidas kerjasama antara GRS dan PH yang menurutnya masih gagal membuktikan keupayaan mentadbir negeri dengan baik.

Sementara itu, Sharif Musa menekankan pentingnya menjadikan perjuangan politik sebagai satu tuntutan fardhu kifayah dan menyeru pemuda menguasai medan digital.

“Hari ini medan perjuangan bukan hanya di pentas ceramah. Gunakan telefon bimbit untuk sebarkan fakta, lawan fitnah dan bentuk persepsi yang benar,” katanya.

Beliau turut menyeru agar pemuda bangkit menjadi jentera yang tangkas dan suara yang lantang demi memastikan kemenangan calon Barisan Nasional kelak.

Majlis turut menyaksikan penyampaian anugerah Jasamu Dikenang kepada Aladzmi Amil Bustan, Setiausaha Kerja Pemuda UMNO Lahad Datu atas sumbangan beliau dalam memperkukuh organisasi pergerakan tersebut.

TAMAT

Share This Article