Sipitang Diistihar Kawasan Bencana Banjir

sabahheadlines
1 Min Read

SIPITANG, 11 Februari – Daerah Sipitang hari ini secara rasmi diisytiharkan sebagai kawasan bencana banjir susulan laporan dan maklumat terkini yang diterima daripada agensi-agensi berkaitan di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD).

Pengisytiharan itu dibuat pada jam 12 tengah hari oleh Pegawai Daerah Sipitang, Abd Karim bin A. M. Zahari, yang juga Pengerusi JPBD Sipitang, selepas mengambil kira situasi semasa banjir yang menjejaskan daerah berkenaan.

Menurut kenyataan rasmi, pengisytiharan bencana tersebut disediakan oleh Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan (PHEDNP) dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sabah berdasarkan laporan lapangan yang disalurkan oleh agensi-agensi terlibat dalam pengurusan bencana.

Pengisytiharan ini membolehkan tindakan pengurusan bencana dilaksanakan secara menyeluruh termasuk penyelarasan bantuan, pengoperasian pusat pemindahan sementara (PPS) serta mobilisasi aset dan anggota keselamatan bagi memastikan keselamatan penduduk terjejas terus terpelihara.

Pihak berkuasa menasihatkan penduduk di kawasan berisiko supaya sentiasa berwaspada mematuhi arahan pihak berkuasa dan segera berpindah ke lokasi selamat sekiranya diarahkan.

TAMAT

Share This Article