KUNAK NEW TOWNSHIP BAKAL PACU EKONOMI DAN PELANCONGAN – MASIDI

sh@ Syarmilah Salleh

KUNAK, 31 Julai 2025 – Pembangunan ekonomi termasuk sektor pelancongan bakal berkembang apabila siapnya bandar baharu Kunak.

Bandar baharu Kunak itu mampu menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi dan merancakkan sektor pelancongan Kunak, kata Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

Beliau berkata, pembangunan bandar baharu itu mampu menjadikan Kunak sebagai pusat aktiviti ekonomi seterusnya memacu kemajuan sejajar dengan daerah lain di negeri ini.

“Kita sedia maklum Kunak mempunyai banyak produk pelancongan, namun kekurangan dari segi kemudahan seperti tempat tinggal dan infrastruktur lain. Kehadiran pemaju dapat menyediakan keperluan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Kunak New Township @ Mostyn Estate di Simpang 4 Kunak, di sini, hari ini.

Tambah beliau, apabila sesebuah bandar diwujudkan, secara tidak langsung ia turut mencetuskan permintaan pasaran dan peluang kepada penduduk setempat.

“Penduduk harus ambil peluang ini untuk mencuba perkara baharu seperti menjalankan projek pertanian dan menjual hasil di pasar,” katanya.

Masidi turut mengakui bahawa pembangunan pelancongan bukanlah mudah di kawasan dengan bilangan penduduk yang kecil seperti Kunak, yang dianggarkan berjumlah antara 65,000 hingga 68,000 orang.

Namun katanya, pembangunan Kunak New Township bukan sekadar menyasarkan penduduk tempatan, malah juga mereka yang melalui laluan Pan Borneo dalam perjalanan ke Kota Kinabalu dan destinasi lain.

Dalam pada itu, beliau memuji komitmen Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Norazlinah Arif dan Pejabat Daerah Kunak dalam memastikan kemajuan landskap serta pembangunan industri di daerah itu.

“Kemajuan ekonomi negeri datang daripada sumbangan semua daerah. Setiap daerah memainkan peranan penting dalam membangunkan industri dan ekonomi Sabah secara menyeluruh,” katanya.

Kunak New Township yang akan dibangunkan secara berfasa dijangka mengambil masa sehingga 15 tahun untuk disiapkan, dan bakal merangkumi pelbagai komponen termasuk zon transit dan komersial, zon perindustrian serta zon perumahan.

TAMAT