SERAMAI 80 PESAKIT KATARAK MENJALANI PEMBEDAHAN PERCUMA

sabahheadlines
2 Min Read

LAHAD DATU 18 Mei- Seramai 80 pesakit katarak telah menjalani pembedahan mata secara percuma sempena Karnival Katarak Kementerian Kesihatan Malaysia( KKM) 2025 yang berlangsung pada 16 dan 17 Mei yang lalu.

Pengarah Hospital Lahad Datu, Dr. Andi Md. Shamsureezal Mohd berkata,
Program Pembedahan Katarak Percuma itu dianjurkan oleh Jabatan Oftalmologi Hospital Lahad Datu dengan kerjasama Jabatan Oftalmologi Hospital Duchess of Kent Sandakan dan Jabatan Oftalmologi Hospital Tawau termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat swasta.

Beliau berkata,Rotary Club Sandakan / Latter Day Saints ( LDS) telah menyumbangkan 80 implan kantar intra ocular kepada pesakit serta dua unit mesin pemeriksaan mata jenis slit lamp bernilai RM110,000.

Katanya, College of Ophthalmology Academy of Medicine Malaysia (COAMM) pula menyalurkan sumbangan berupa set pembedahan dan keperluan logistik bernilai RM7,000.

Selain itu, Dewan Perniagaan Tiong Hua menyumbangkan sebuah mesin pensterilan peralatan pembedahan (autoclave) bernilai RM18,000.

Beliau berkata demikian berucap di Program katarak Karnival Kementerian Kesihatan Malaysia ( KKM) 2025 Hospital Lahad Datu di sini pada Ahad.

“Syarikat ALCON dan Johnson & Johnson turut memainkan peranan penting apabila membekalkan mesin phacoemulsification serta peralatan pembedahan yang digunakan sepanjang program.

“Kita juga mendapat sumbangan dari segi sokongan logistik dan bantuan operasi daripada Rotary Club Sandakan,” katanya.

Menurutnya, kejayaan program itu mencerminkan semangat kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam menyediakan akses kesihatan kepada golongan memerlukan.

“Program ini bukan sahaja membantu pesakit, malah memperlihatkan kesepaduan pelbagai pihak dalam memastikan masyarakat mendapat rawatan yang sewajarnya.

“Kita berharap program dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memberi sinar harapan kepada lebih ramai pesakit yang memerlukan,” katanya.

Terdahulu, enam pakar oftalmologi terlibat dalam pelaksanaan program ini, termasuk seorang pakar dari Hospital Lahad Datu, empat dari Hospital Duchess of Kent Sandakan dan seorang pakar dari Synergy Specialist Eye Centre, Kota Kinabalu.

Pada Mac lalu, seorang Doktor pakar mata sudah ditempatkan di Hospital Lahad Datu.

TAMAT

Penganjur dan peserta yang telah menjalani pemedahan katarak percuma

Share This Article