KOTA KINABALU 9 DIS- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas 16 Disember ini bagi menetapkan tarikh penting berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan (DU) Sabah, Lamag.
Mesyuarat itu diadakan susulan pemakluman rasmi mengenai kekosongan luar jangka kedua-dua kerusi berkenaan daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya awal minggu ini.
Kekosongan tersebut berlaku berikutan pemergian Ahli Parlimen Kinabatangan yang juga ADUN Lamag, Datuk Seri Bung Moktar Radin, pada Jumaat lalu.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus dalam satu kenyataan berkata, mesyuarat berkenaan akan membincangkan penetapan tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan serta persiapan lain bagi melaksanakan PRK.
Beliau berkata, SPR menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 8 Disember 2025 dan Speaker DUN Sabah pada 9 Disember 2025, selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 21(5) Perlembagaan Negeri Sabah yang memperuntukkan kekosongan hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari.
Menurutnya, mesyuarat berkenaan akan dipengerusikan Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun dan satu sidang media akan diadakan sejurus mesyuarat selesai bagi memaklumkan keputusan rasmi kepada orang ramai.
TAMAT
