Ahli Parlimen Kinabatangan,Datuk Seri Bung Mokhtar Radin menzahirkan penghargaan kepada Sekretariat SMJ (Sabah Maju Jaya) atas inisiatif melaksanakan bancian data kemiskinan yang menggunakan indikator tambahan khusus bagi Sabah.

khaiz
2 Min Read

SABAH HEADLINES – SYARMILAH SALLEH

19 FEBRUARI 2025

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Kinabatangan,Datuk Seri Bung Mokhtar Radin menzahirkan penghargaan kepada Sekretariat SMJ (Sabah Maju Jaya) atas inisiatif melaksanakan bancian data kemiskinan yang menggunakan indikator tambahan khusus bagi Sabah.

Langkah itu katanya amat penting untuk memastikan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan dengan lebih tepat dan berkesan.

Namun, dalam situasi semasa di mana rakyat semakin terhimpit dengan kos sara hidup yang tinggi pada tahun 2025, sistem bancian itu menurut Bung perlu terus diperhalusi dan ditambah baik dari semasa ke semasa.

“Saya yakin bahawa jumlah rakyat Sabah yang layak menerima bantuan jauh lebih ramai berbanding data semasa, dan oleh itu, pendekatan yang lebih menyeluruh diperlukan” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Katanya, Sistem bancian tidak boleh hanya tertumpu kepada mereka yang telah berdaftar dalam e-Kasih semata-mata, tetapi juga perlu merangkumi golongan hampir miskin dan mereka yang berada dalam jurang pendapatan yang menyebabkan mereka tersepit antara kategori kelayakan bantuan.

Bantuan tidak boleh terlalu terikat kepada kriteria yang terlalu ketat sehingga menafikan hak rakyat yang benar-benar memerlukan.

Justeru Bung yang juga Ketua UMNO Sabah menyeru pihak berkuasa agar menambah baik kaedah bancian dengan memperluas skop data, termasuk mengenal pasti isi rumah berpendapatan rendah di kawasan luar bandar dan pedalaman yang sering terlepas pandang dalam sistem bantuan sedia ada.

Selain itu memastikan sistem yang lebih inklusif, agar mereka yang terkesan akibat kenaikan harga barang dan tekanan ekonomi turut dipertimbangkan dalam senarai penerima bantuan.

Ini termasuklah meningkatkan kerjasama antara kerajaan negeri dan persekutuan, supaya bantuan dapat disalurkan dengan lebih menyeluruh tanpa birokrasi yang melambatkan proses.

“Matlamat utama kita adalah untuk memastikan tiada rakyat Sabah yang tercicir daripada menerima bantuan yang sepatutnya menjadi hak mereka.

“Dengan penambahbaikan ini, saya percaya lebih ramai rakyat yang benar-benar memerlukan dapat dibantu, dan nasib mereka akan lebih terbela,tambahnya.

Share This Article