Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia( Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar minyak petrol berjumlah lebih 10,000 liter di perairan Kudat,semalam.

khaiz
2 Min Read

SABAH HEADLINES -SYARMILAH SALLEH

19 FEBRUARI 2025

KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia( Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar minyak petrol berjumlah lebih 10,000 liter di perairan Kudat,semalam.

Kejayaan itu adalah hasil maklumat risikan oleh Unit Perisikan Zon Maritim Kudat yang dapat mengesan aktiviti berkenaan sekitar pukul 1.00 pagi pada hari kejadian.

Pengarah Zon Maritim Kudat,Komander Maritim Hasbullah bin Omar berkata, bertindak atas maklumat tersebut,aset Ronda Maritim Malaysia, Bot KILAT 48 segera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan pemantauan.

Setibanya di lokasi iaitu lebih kurang 1.1 batu nautika barat laut Tanjung Meniagit,Kudat,telah mendapati dua buah bot mencurigakan dikesan sedang bergerak perlahan dalam gelap.

Semasa cuba untuk mendekati bot suspek,kedua-dua buah bot tersebut bertindak memecut laju menuju ke kawasan cetek paya bakau berhampiran manakala beberapa individu terlibat bertindak terjun dan melarikan diri ke kawasan paya bakau berdekatan.

Dua bot suspek yang ditinggalkan berjaya ditahan untuk pemeriksaan dan hasil pemeriksaan menemui 51 tong drum berwarna biru berisi minyak petrol anggaran lebih 10,000 liter.

Bot serta barang rampasan kemudiannya dibawa ke jeti Marina Kudat untuk siasatan selanjutnya.

Keseluruhan nilai rampasan termasuk bot yang digunakan adalah dianggarkan lebih kurang RM 70 ribu.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa barang kawalan tanpa permit sah.

Sehubungan itu, Zon Maritim Kudat menyeru masyarakat khususnya komuniti Maritim di kawasan perairan Kudat agar bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam membenteras aktiviti penyeludupan dan jenayah Maritim. Sebarang maklumat berkaitan kes boleh disalurkan melalui Talian Pusat Operasi Kudat 088-611858 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam.

Share This Article