Sook, 27 NOVEMBER- Seramai enam mangsa daripada sebuah keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara selepas kediaman mereka terjejas akibat banjir di Rancangan Belia Tiulon, Blok A, Sook, pagi tadi.
Mangsa terdiri daripada seorang lelaki dewasa, seorang wanita dewasa dan empat kanak-kanak perempuan yang dipindahkan ke Gereja SIB Rancangan Belia Tiulon menggunakan sebuah bot penyelamat.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook menerima panggilan kecemasan pada jam 8.51 pagi sebelum tiba di lokasi pada jam 9.05 pagi bagi menjalankan operasi pemindahan.
Operasi melibatkan tujuh anggota bomba dengan bantuan lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Pemantauan di kawasan terjejas mendapati paras air banjir semakin surut sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.05 pagi selepas keadaan disahkan terkawal.
