LAHAD DATU,14 November -Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan perlu diberikan peluang yang lebih luas untuk membuktikan keupayaan diri sekali gus mengubah persepsi masyarakat agar tidak terus melihat mereka sebagai golongan yang hanya memerlukan simpati.
Sebaliknya, mereka perlu diberikan ruang dan akses yang adil dalam bidang pendidikan, pekerjaan serta kehidupan bermasyarakat bagi membolehkan potensi dan kemahiran dimanfaatkan sepenuhnya.
Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Lahad Datu, Ir. Rajesh Yusof berkata, golongan OKU penglihatan mempunyai bakat, kemahiran dan potensi tersendiri untuk turut menyumbang kepada pembangunan masyarakat, negeri dan negara.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Tongkat Putih Peringkat Negeri Sabah 2026 di sini, Sabtu.
Menurutnya, tongkat putih bukan sekadar alat bantuan pergerakan, sebaliknya menjadi simbol kebebasan, keyakinan diri, keselamatan dan keupayaan golongan OKU penglihatan menjalani kehidupan secara berdikari.
Sambutan bertemakan ‘Aksesibiliti Sejagat, Pemangkin Komuniti Mandiri dan Inklusif’ itu turut menekankan kepentingan menyediakan kemudahan serta persekitaran yang boleh diakses oleh semua lapisan masyarakat.
Katanya, aspek aksesibiliti tidak seharusnya terhad kepada kemudahan fizikal seperti jalan raya dan laluan pejalan kaki, malah perlu merangkumi akses kepada pendidikan, pekerjaan, maklumat, perkhidmatan kesihatan, pengangkutan dan teknologi.
Sehubungan itu, pihak berkaitan perlu memberikan perhatian serius terhadap penyediaan kemudahan awam mesra OKU khususnya laluan pejalan kaki yang selamat dan bersesuaian dengan keperluan golongan OKU penglihatan.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) Cawangan Sabah, Zaleha Matali berkata, kesedaran masyarakat terhadap kepentingan aksesibiliti menyeluruh perlu terus dipertingkatkan bagi memastikan komuniti OKU penglihatan dapat menikmati kehidupan yang lebih selamat, adil dan berdikari.
Menurutnya, SBM Cawangan Sabah yang mula beroperasi pada 28 April 2012 kini berpusat di Penampang dan mempunyai seramai 340 ahli.
Beliau berharap usaha memperkasakan komuniti OKU penglihatan terus diberikan perhatian dalam setiap perancangan pembangunan bagi mewujudkan masyarakat yang lebih inklusif dan prihatin terhadap keperluan golongan berkenaan.
Dalam pada itu Pegawai Daerah Lahad Datu, Fairuz Idzualdeen @Benetty bin Mohd Dzul berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan penganjuran program seumpama itu yang bukan sahaja memperkasakan komuniti OKU penglihatan malah mengeratkan hubungan antara masyarakat dengan pentadbiran kerajaan.
Katanya, pihak pentadbiran daerah turut memberikan kerjasama sepanjang pelaksanaan program berkenaan termasuk perarakan yang bermula dari Pejabat Daerah Lahad Datu menuju ke Bandar Singgah Mata Point.
Sementara itu ahli Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Sabah, Sarbani Irham berkata tongkat putih turut menjadi simbol perjuangan komuniti OKU penglihatan untuk mendapatkan pengiktirafan, aksesibiliti dan peluang menjalani kehidupan secara berdikari.
Menurutnya, komuniti OKU penglihatan juga berupaya bersosial melibatkan diri dalam masyarakat serta menjadi contoh kepada golongan lain khususnya golongan belia.
Sambutan itu turut diserikan dengan perarakan sejauh lebih 200 meter yang melibatkan peserta dari Lahad Datu, Semporna, Tawau, Sandakan dan Kota Kinabalu.
Perarakan bermula dari perkarangan Pejabat Daerah Lahad Datu menuju ke Bandar Singgah Mata Point itu bukan sahaja memeriahkan sambutan malah menjadi platform meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap cabaran pergerakan yang dihadapi golongan OKU penglihatan serta kepentingan mewujudkan persekitaran awam yang lebih mesra, selamat dan inklusif.
