GEMPA BUMI LEMAH GEGAR KENINGAU,BOMBA PERIKSA EMPAT BANGUNAN

sabahheadlines
2 Min Read

KENINGAU, 3 SEPT – Gempa bumi lemah bermagnitud 3.4 melanda kira-kira 10 kilometer barat Keningau, Sabah pada jam 9.31 pagi tadi, dengan gegaran dirasai di Keningau dan kawasan sekitarnya.

Gempa itu berpusat pada koordinat 5.3 darjah Utara dan 116.1 darjah Timur pada kedalaman 10 kilometer.

Susulan kejadian itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau menjalankan rondaan serta pemeriksaan di beberapa bangunan selepas menerima panggilan berkaitan gegaran.

Pemeriksaan membabitkan Bangunan G-MART Keningau, Bangunan Perabot Apollo, Pejabat Kesihatan Keningau dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau.

Operasi tersebut diketuai oleh Komander Operasi, PBK I Danny Boy membabitkan tujuh anggota BBP Keningau termasuk lima anggota bersama sebuah jentera FRT dan dua anggota dengan sebuah EMRS.

Hasil pemeriksaan mendapati tiada kerosakan struktur dikesan pada bangunan yang diperiksa.

Tiada sebarang laporan kejadian runtuhan, kebakaran atau kecederaan membabitkan mangsa susulan gegaran berkenaan.

Sehubungan itu pasukan bomba turut memberikan nasihat keselamatan kepada penduduk setempat supaya sentiasa berwaspada terhadap kemungkinan berlaku gegaran susulan dan segera memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat sebarang kerosakan atau kecemasan.

Rondaan dan pemantauan bermula kira-kira jam 9.40 pagi dan tamat pada jam 11.05 pagi selepas keadaan di lokasi pemeriksaan didapati selamat serta terkawal.

Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian itu.

Share This Article