TYT SABAH TINJAU PROJEK PUSAT ISLAM DI SANDAKAN

sabahheadlines
2 Min Read

SANDAKAN, 9 OKT – Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman meninjau perkembangan pembinaan Pusat Islam Sabah di Batu 7, Kampung Sungai Kayu, Sandakan, sempena lawatan kerja beliau ke daerah ini.

Ketibaan Tun Musa di Lapangan Terbang Sandakan disambut anakandanya, YB Datuk Hazem Mubarak Tun Dr. Musa, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.51 Sungai Manila, bersama Pegawai Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) N.51 Sungai Manila, Rahmat Iskandar Ibrahim, kakitangan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) serta wakil pelbagai agensi kerajaan negeri Sabah.

Pusat Islam Sabah itu bakal menjadi mercu tanda baharu pembangunan institusi Islam di Sandaka selain menyediakan kemudahan untuk pelbagai aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.

Kompleks berkenaan bakal dilengkapi kemudahan masjid, dewan serbaguna yang mampu menampung lebih 1,000 orang serta kelas tahfiz al-Quran.

Projek berkenaan dijangka siap pada awal tahun 2027.

Dalam lawatan sama, Tun Musa turut menziarahi bekas Ketua Konservator Jabatan Hutan Sabah, Datuk Sam Manan yang sedang menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent, Sandakan.

Beliau diberikan taklimat mengenai keadaan kesihatan serta rawatan Datuk Sam oleh Pengarah hospital, Dr. Mohd Fahmie Othman.

Tun Musa turut mendoakan agar Datuk Sam diberikan kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan rawatannya.

Lawatan itu mencerminkan keprihatinan kepimpinan negeri terhadap pembangunan infrastruktur keagamaan serta kebajikan masyarakat di Sandakan.

Oleh: Jalie Mohamad

Share This Article