VESEL FILIPINA CEROBOH PERAIRAN NEGARA, 65 KRU DITAHAN

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU, 30 SEPT – Sebuah Vesel Nelayan Asing (VNA) dari Filipina bersama 65 kru ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan kerana disyaki menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara haram di perairan negara.

Vesel terbabit ditahan pada 27 September lalu kira-kira jam 1.30 petang ketika aset Maritim Malaysia menjalankan rondaan rutin di kedudukan kira-kira 18 batu nautika barat Pulau Mantanani.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, pemeriksaan awal mendapati kesemua kru terbabit sedang aktif memunggah kira-kira empat tan hasil laut ke dalam vesel berkenaan.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua 65 kru termasuk tekong yang merupakan warganegara Filipina gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri atau permit kerja yang sah.

Mereka turut disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di kawasan perairan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan.

Keseluruhan rampasan membabitkan sebuah vesel, kira-kira empat tan hasil laut serta 65 kru dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM350,000.

Kesemua kru bersama tekong, vesel dan hasil laut telah dibawa ke jeti Maritim Malaysia untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang.

Mohd Khairulanuar menegaskan, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana vesel nelayan asing yang menceroboh perairan negara atau menjalankan aktiviti perikanan tanpa kebenaran.

Katanya, tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan kedaulatan perairan, kepentingan sumber perikanan serta keselamatan maritim negara sentiasa terpelihara.

Orang ramai dan komuniti nelayan yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan atau kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Sabah dan W.P. Labuan di talian 088-387 774 atau 999 bagi talian kecemasan.

Share This Article