LEBIH 3000 PASANGAN WNI DI SABAH MILIKI BUKU NIKAH SAH

sabahheadlines
2 Min Read

ah@ SYARMILAH SALLEH
TAWAU: 8 Julai – Seramai 3,455 pasangan warganegara Indonesia (WNI) yang menetap di Pantai Timur Sabah kini memiliki buku nikah sah selepas mendaftar melalui program Sidang Itsbat Nikah anjuran Konsulat Republik Indonesia (RI) Tawau sejak 2012.

Konsul RI Tawau, Aris Heru Utomo, berkata kebanyakan pasangan ini sudah lama berkahwin secara adat atau syarie, namun tidak mempunyai dokumen perkahwinan yang diiktiraf oleh undang-undang negara asal mereka.

“Ramai berkahwin secara tradisional, tetapi tanpa pengesahan rasmi. Sidang Itsbat ini membolehkan mereka mendapat buku nikah yang sah di sisi undang-undang Indonesia,” katanya kepada media selepas merasmikan Sidang Itsbat Nikah ke-10 di pejabat Konsulat RI di sini, pada Isnin

Bagi tahun ini, seramai 222 pasangan WNI akan melalui proses pendaftaran perkahwinan sepanjang lima hari program berlangsung.

Menurut Aris, program itu turut menjadi sebahagian daripada sambutan Hari Ulang Tahun ke-80 Republik Indonesia, selain menyokong pendaftaran sivil dan kependudukan WNI di Sabah.

Beliau berkata, proses hanya membabitkan 40 pasangan setiap hari disebabkan had kuota dan keperluan dokumentasi yang ketat, dengan maksimum 300 pasangan setahun diproses.

Pasangan yang terpilih akan menjalani sidang bersama Hakim Mahkamah Negeri Jakarta Pusat yang ditugaskan khas untuk menyemak dan mengesahkan dokumen serta status perkahwinan mereka.

“Setelah disahkan, mereka akan menerima buku nikah dan seterusnya boleh mendaftar dokumen lain seperti kad keluarga dan kad pengenalan. Ini juga penting bagi pengesahan anak-anak dan hak pewarisan,” jelasnya.

Kawasan seliaan Konsulat RI Tawau meliputi daerah Tawau, Kalabakan, Kunak, Lahad Datu dan Semporna merupakan antara lokasi yang mempunyai jumlah komuniti WNI yang tinggi, terutamanya pekerja di sektor perladangan.

Program ini turut dijalankan dengan kerjasama syarikat-syarikat ladang bagi memudahkan penyertaan warga WNI yang mempunyai dokumen lengkap.

TAMAT

Share This Article