Dua Maut, Dua Cedera Dalam Kemalangan Kereta dan Motosikal di Jalan Tamparuli–Ranau

sabahheadlines
2 Min Read

TUARAN, 9 JANUARI 2026– Dua lelaki disahkan meninggal dunia manakala dua lagi cedera dalam satu kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah motosikal di Kampung Minangkob, Jalan Tamparuli–Ranau, petang tadi.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 4.24 petang sebelum sepasukan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 25 kilometer dari balai.

Menurut Komander Operasi, PBK I Azran Jull, kemalangan berkenaan membabitkan sebuah kenderaan jenis Ford Ranger Raptor yang bertembung dengan motosikal Yamaha LC.

“Empat mangsa terlibat dalam kejadian ini. Dua mangsa lelaki berusia 30 tahun yang berada di dalam kenderaan Ford Ranger Raptor telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba dan dihantar ke Hospital Tuaran menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, dua lagi mangsa iaitu penunggang dan pembonceng motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan KKM.

Mangsa yang meninggal dunia kemudiannya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tindakan lanjut manakala pasukan bomba menjalankan pemeriksaan keselamatan bagi memastikan tiada bahaya lain di kawasan kejadian.

Operasi melibatkan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.30 petang selepas keadaan disahkan selamat.

TAMAT

Share This Article