KINABATANGAN, 26 SEPT – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjalankan rondaan serta pemantauan di sekitar daerah Kinabatangan susulan laporan kejadian gegaran kecil gempa bumi awal pagi tadi.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan menerima panggilan menerusi talian balai pada jam 6.21 pagi, sebelum sebuah jentera CFRT dengan kekuatan enam anggota bergerak ke lokasi.
Menurut Komander Operasi, PBK I Jasmani bin Osni, pasukan tiba di kawasan berkenaan pada jam 6.26 pagi dengan jarak perjalanan kira-kira lapan kilometer.
Rondaan dan pemeriksaan melibatkan beberapa lokasi termasuk Sedco Kinabatangan, Perpustakaan Bukit Garam dan Bukit Garam Point selain kawasan yang dikenal pasti berisiko.
Hasil pemeriksaan mendapati tiada kerosakan struktur pada bangunan yang diperiksa manakala tiada kejadian runtuhan atau kecederaan dilaporkan.
Pasukan bomba turut memberikan nasihat keselamatan kepada penduduk setempat supaya sentiasa berwaspada terhadap kemungkinan berlaku gegaran susulan serta segera memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat sebarang kerosakan atau kecemasan.
Operasi yang melibatkan enam anggota BBP Kinabatangan itu selesai pada jam 7 pagi selepas keadaan di lokasi didapati selamat dan terkawal.
Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian berkenaan.
