SANDAKAN, 23 SEPT – Usaha memperkasa kesedaran kesihatan masyarakat setempat terus diperkukuh menerusi Program Kesihatan Persatuan Bidan Kampung Tradisional Sabah yang bakal menghimpunkan komuniti di Dewan PPR Batu Sapi, di sini, Sabtu ini.
Program anjuran Persatuan Bidan Kampung Tradisional Sabah dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) itu dijadual berlangsung dari jam 7 pagi hingga 1 petang dengan pelbagai aktiviti berkaitan kesihatan, perubatan tradisional dan kemasyarakatan.
Program berkenaan memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan akses kepada aktiviti kesihatan secara percuma, selain meningkatkan pengetahuan mengenai penjagaan kesihatan dan amalan tradisional.
Antara pengisian utama ialah pemeriksaan kesihatan percuma, urutan terapi percuma khusus untuk wanita, ceramah perubatan tradisional, senamrobik Zumba serta pameran herba dan peralatan urutan tradisional.
Program ini bukan sahaja memberi penekanan kepada aspek kesihatan malah menjadi ruang untuk masyarakat mengenali dengan lebih dekat peranan bidan kampung serta amalan perubatan tradisional yang diwarisi dalam komuniti.
Ceramah berkaitan perubatan tradisional turut dijadual disampaikan oleh Puan Justina dari Hospital Duchess of Kent, Sandakan sebagai antara pengisian utama program.
Selain itu, orang ramai berpeluang membuat pendaftaran sebagai ahli persatuan atau peserta awam di samping menikmati cabutan bertuah, gerai jualan serta sarapan dan makan tengah hari yang disediakan sepanjang program.
Ahli Parlimen Batu Sapi (P185), Khairul Firdaus Akbar Khan dijangka hadir bagi merasmikan program yang membawa tema “Badan Sihat, Keluarga Bahagia” itu dan Pengerusi Persatuan Bidan Kampung Tradisional Sabah, Maslina Juinto
Program berkenaan diharap dapat menggalakkan masyarakat khususnya golongan wanita dan keluarga memberi perhatian lebih terhadap penjagaan kesihatan selain memperkukuh hubungan antara pengamal perubatan tradisional dengan komuniti setempat.
Orang ramai di sekitar Batu Sapi dan kawasan berhampiran turut dialu-alukan untuk hadir dan memanfaatkan pelbagai aktiviti serta perkhidmatan yang disediakan secara percuma.
